n|nJaZ_bOyZ @ 9W2SQL

Monday, April 16, 2007

Apa Itu Amateur Radio dari kaca mata saya ?

Amateur Radio bagi diri saya adalah satu hobi atau pakej yang lengkap. Dalamnya terdapat pelbagai cabang disiplin ilmu. Antara cabang disiplin ilmu yang saya maksudkan ialah seperti sains fizik, sains sosial, sains angkasa, kejuruteraan, bahasa, seni, budaya, dan lain-lain lagi. Boleh dikatakan ia mencakupi segenap aspek ilmu kehidupan.

Komunikasi adalah perkara teras dalam hobi ini. Anda boleh berkomunikasi dengan berbagai-bagai cara. Anda boleh menggunakan analog iaitu komunikasi suara, digital dan juga bunyi seperti morse code. Sementara medium komunikasi pula anda boleh menggunakan segala medium komunikasi yang wujud pada hari ini seperti gelombang radio dari frekuensi tinggi sehinggalah ke gelombang mikro dan "infrared".



Dengan hobi ini anda boleh melancong, berkenalan dengan rakan baru dari dalam mahupun luar negeri. Anda juga boleh mengadakan aktiviti bersama-sama dengan ahli keluarga anda seperti field day. Dalam hobi ini juga anda boleh melakukan aktiviti-aktiviti luar yang mencabar, seperti mengadakan komunikasi di tempat-tempat yang terpencil dengan mengguna alat-alat asas komunikasi. Hampir semua aktiviti boleh digabungkan dengan hobi ini.

Hobi ini tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Dari kanak-kanak sehinggalah vateran boleh menyertai hobi ini. Bukan itu sahaja malah mereka yang menyertai hobi ini terdiri daripada jurutera, arkitek, peguam, doktor, guru, pensyarah, ahli perniagaan, nelayan, petani dan lain-lain lagi. Sebenarnya dengan hobi ini anda membina jaringan perhubungan. Walaupun hobi ini secara umum tidak boleh melibatkan kepentingan peribadi, tetapi apabila sakit anda boleh bertanya dengan doktor. Jika komputer anda rosak, ada rakan-rakan radio yang ingin membantu. Anda akan dapat merasai semangat tolong menolong dalam hobi ini.

Ini kerana seseorang anggota amateur radio itu secara semula jadi mempunyai semangat setiakawan yang tinggi. Ini dapat di lihat dengan wujudnya 7 kod etika amateur radio yang telah di terima oleh seluruh dunia sejak hobi ini mula diperkenalkan lagi. Semangat setiakawan merupakan salah satu dari 7 kod tersebut.

Selain daripada itu hobi ini juga membolehkan anda mempelajari bahasa dan budaya dunia. Ada sahaja ilmu yang akan anda pelajari apabila anda menceburkan diri anda dalam dunia komunikasi ini.

Apabila kecemasan hobi ini akan menjadi satu aset yang penting. Sebenarnya amateur radio adalah merupakan "backup communication" ataupun altenatif perhubungan apabila kecemasan. Pada waktu kecemasan kemungkinan perhubungan biasa tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini jelas apabila berlakunya sesuatu kecemasan. Pada 9/11 amateur radio merupakan tulang belakang kepada komunikasi agenci kecemasan di Amerika Syarikat. Bukan itu sahaja malah banyak lagi contoh yang meletakkan hobi ini tempat teratas sekali apabila berlakunya sesuatu kecemasan di seluruh dunia.

Amateur radio merupakan satu-satunya hobi yang boleh digunakan atau dimainkan hampir dalam semua keadaan. Sewaktu aman hobi ini adalah sebagai alat untuk menjalinkan persahabatan dan apabila waktu kecemasan ianya menjadi suatu keperluan.

Ini adalah pandangan saya mengenai hobi ini. Tentu sekali ia mempunyai perbezaan atau pun persamaan di antara peminat hobi ini. Walaubagaimana pun hobi ini adalah hobi terbaik yang pernah saya minati.

73, all the best from 9W2SayaQuteLagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home