n|nJaZ_bOyZ @ 9W2SQL

Tuesday, April 17, 2007

Macam mana saya kenal Amateur Radio.

Masing-masing peminat hobi ini mempunyai cerita mereka sendiri, bagaimana mereka boleh berkecimpung dalam hobi ini. Begitu juga saya, mempunyai cerita serta pengalaman tersendiri bagaimana saya boleh terlibat dengan hobi yang hebat ini.

Ceritanya bermula apabila cikgu sains saya iaitu Cikgu Mazwan dan beberapa orang rakan beliau menarik dan mengikat satu wayar dari tingkat 3 bangunan sekolah dengan tingkat 3 bangunan sekolah yang lain. Di tengah regangan wayar tersebut terdapat satu lagi wayar yang panjang dan saya dapati wayar tersebut menuju ke bilik kelas bawah bangunan yang pertama.

Pada hari tersebut saya tidur di sekolah kerana pada keesokkan harinya akan berlangsung hari kokurikulum sekolah. Saya tidur di dalam khemah yang didirikan bersama dengan ahli persatuan-persatuan beruniform sekolah.

Pada malam apabila selesai mandi di tandas sekolah saya melalui kawasan belakang kelas yang menempatkan station amateur untuk pameran keesokan harinya. Semasa melalui belakang kelas tersebut saya terdengar transmition dari jepun. Nama operator jepun tersebut ialah MASA san. Masa itu pak ujang ataupun 9w2au sedang berkomunikasi dengan station dari jepun tersebut dengan menggunakan callsign cikgu saya iaitu 9M2ZN. Hampir beberapa minit saya mendengar transmition tersebut.

Selepas itu saya terus balik ke khemah dan bersiap. Kemudian saya langsung ke kelas yang menempatkan station tersebut untuk mengikuti perbualan di antara pak ujang dengan station dari jepun tersebut. Setelah sampai di kelas tersebut saya terus bertanyakan kepada cikgu saya mengenai hobi ini. Saya tidak sangka bermula dari malam tersebut saya menjadi "gila". Bermula dari saat itu saya kerap mengunjungi cikgu saya di tempatnya di makmal sains sekolah.

Pada masa itu propagasi begitu baik. Jika memanggil "CQ" ada sahaja station yang menjawab. Ini termasuk semua band HF.

Jadi saya mengenali hobi ini melalui HF. Tidak seperti kebanyakkan rakan-rakan yang mengenali hobi ini melalui VHF dalam mode FM. Dalam hari-hari saya berulang alik dari kelas ke tempat cikgu saya di makmal sains, saya dimaklmukan bahawa ustaz saya mempunyai radio world receiver di mana dengan radio ini kita boleh mendengar transmittion amateur radio. Jadi saya telah memimjam radio tersebut dari ustaz saya.

Dengan menggunakan wayar audio hitam dan merah saya telah membuat simple antenna dengan mengikatkan wayar tersebut dari pokok pelam di hadapan rumah saya ke tingkap rumah saya. Dengan radio tersebut saya memonitor singapore tower di 8.942MHz, Malaysia Amateur Radio net di 7.045MHz pada setiap petang dan lain-lain amateur radio band. Setiap sesi monitor tersebut saya membuat catitan log. Dari sini saya mengenali operator radio amatur seperti cikgu rahman 9M2AR yang berada di Alor Setar, Pak Long Marzuki 9M2MZ di Guar Chempedak, Zainal 9M2ZA di Kuala Lumpur, abg Aziz 9M2AU di Bangi dan beberapa station lagi.

Saya mendengar dan memonitor hampir setiap petang perbualan mereka. Dari sini saya mula belajar serba sedikit teori radio seperti sistem antenna, sistem radio dan beberapa teori yang berkaitan dengan elektronik. Tidak dapat dinafikan banyak yang saya pelajari sebagai seorang shortwave listenner di band tersebut.

Oleh kerana radio tersebut saya pinjam maka aktiviti monitor saya telah berhenti seketika kerana saya perlu memulangkan kembali radio tersebut kepada ustaz saya. Tetapi oleh kerana terlalu rindukan aktiviti monitor yang saya selalu buat saya telah memproses radio rumah saya dengan memusing di semua band shortwave yang ada tetapi saya tidak dapat mendengar perbualan radio amatur dengan jelas kerana radio saya yang biasa tersebut tidak mempunyai litar SSB. Saya hanya mendengar bunyi seperti orang bercakap d dalam air sahaja. Bunyi suara itu seperti suara kartun dan tidak jelas.

Jadi saya telah monitor segala transmition yang saya dapat seperti morse code kapal, dan juga satu transmittion bersuara perempuan yang menyebut nombor dalam 5 angka dalam satu kumpulan. Dari informasi yang saya dapat transmittion tersebut merupakan data cuaca dan ada yang mengatakan itu merupakan isyarat tentera. Kadang-kadang suara itu akan dipancarkan dalam bahasa cina dan kadang-kadang dalam bahasa inggeris pada band radio yang berbeza. Suara tersebut masih menjadi misteri kepada saya sehingga ke hari ini.

Semasa belajar di Kolej Legenda di langkawi pada tahun 2001 saya telah terjumpa dengan radio world receiver sama seperti ustaz saya. Ini telah membuatkan saya tidur tidak lena. Pada keesokkan harinya saya telah membeli radio tersebut. Harganya boleh tahan jugak hampir mencecah 1K. Namun oleh kerana minat apa yang hendak dikisahkan sangat. Bermulalah kembali aktiviti yang selama ini terhenti.

Sehinggalah saya mengambil ujian RAE pada hujung 2004. Saya telah lulus dan telah mendapat tiket pada 15 Jan 2005 dengan callsign 9W2SQL. Dari saat itu bermulalah saya sebagai seorang operator radio amatur.

Monday, April 16, 2007

Apa Itu Amateur Radio dari kaca mata saya ?

Amateur Radio bagi diri saya adalah satu hobi atau pakej yang lengkap. Dalamnya terdapat pelbagai cabang disiplin ilmu. Antara cabang disiplin ilmu yang saya maksudkan ialah seperti sains fizik, sains sosial, sains angkasa, kejuruteraan, bahasa, seni, budaya, dan lain-lain lagi. Boleh dikatakan ia mencakupi segenap aspek ilmu kehidupan.

Komunikasi adalah perkara teras dalam hobi ini. Anda boleh berkomunikasi dengan berbagai-bagai cara. Anda boleh menggunakan analog iaitu komunikasi suara, digital dan juga bunyi seperti morse code. Sementara medium komunikasi pula anda boleh menggunakan segala medium komunikasi yang wujud pada hari ini seperti gelombang radio dari frekuensi tinggi sehinggalah ke gelombang mikro dan "infrared".



Dengan hobi ini anda boleh melancong, berkenalan dengan rakan baru dari dalam mahupun luar negeri. Anda juga boleh mengadakan aktiviti bersama-sama dengan ahli keluarga anda seperti field day. Dalam hobi ini juga anda boleh melakukan aktiviti-aktiviti luar yang mencabar, seperti mengadakan komunikasi di tempat-tempat yang terpencil dengan mengguna alat-alat asas komunikasi. Hampir semua aktiviti boleh digabungkan dengan hobi ini.

Hobi ini tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Dari kanak-kanak sehinggalah vateran boleh menyertai hobi ini. Bukan itu sahaja malah mereka yang menyertai hobi ini terdiri daripada jurutera, arkitek, peguam, doktor, guru, pensyarah, ahli perniagaan, nelayan, petani dan lain-lain lagi. Sebenarnya dengan hobi ini anda membina jaringan perhubungan. Walaupun hobi ini secara umum tidak boleh melibatkan kepentingan peribadi, tetapi apabila sakit anda boleh bertanya dengan doktor. Jika komputer anda rosak, ada rakan-rakan radio yang ingin membantu. Anda akan dapat merasai semangat tolong menolong dalam hobi ini.

Ini kerana seseorang anggota amateur radio itu secara semula jadi mempunyai semangat setiakawan yang tinggi. Ini dapat di lihat dengan wujudnya 7 kod etika amateur radio yang telah di terima oleh seluruh dunia sejak hobi ini mula diperkenalkan lagi. Semangat setiakawan merupakan salah satu dari 7 kod tersebut.

Selain daripada itu hobi ini juga membolehkan anda mempelajari bahasa dan budaya dunia. Ada sahaja ilmu yang akan anda pelajari apabila anda menceburkan diri anda dalam dunia komunikasi ini.

Apabila kecemasan hobi ini akan menjadi satu aset yang penting. Sebenarnya amateur radio adalah merupakan "backup communication" ataupun altenatif perhubungan apabila kecemasan. Pada waktu kecemasan kemungkinan perhubungan biasa tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini jelas apabila berlakunya sesuatu kecemasan. Pada 9/11 amateur radio merupakan tulang belakang kepada komunikasi agenci kecemasan di Amerika Syarikat. Bukan itu sahaja malah banyak lagi contoh yang meletakkan hobi ini tempat teratas sekali apabila berlakunya sesuatu kecemasan di seluruh dunia.

Amateur radio merupakan satu-satunya hobi yang boleh digunakan atau dimainkan hampir dalam semua keadaan. Sewaktu aman hobi ini adalah sebagai alat untuk menjalinkan persahabatan dan apabila waktu kecemasan ianya menjadi suatu keperluan.

Ini adalah pandangan saya mengenai hobi ini. Tentu sekali ia mempunyai perbezaan atau pun persamaan di antara peminat hobi ini. Walaubagaimana pun hobi ini adalah hobi terbaik yang pernah saya minati.

73, all the best from 9W2SayaQuteLagi.